MERSING - Tindakan pantas polis Mersing semalam berjaya menggagalkan cubaan seorang suspek melarikan sebuah kenderaan di hadapan sebuah restoran dekat Jalan Ismail, di sini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Cyril Edward Nuing berkata suspek berjaya diberkas selepas melarikan diri kira-kira 80 kilometer (km).
"Sebaik menerima laporan daripada pengadu, Bilik Kawalan Daerah Mersing telah mengatur Ops Tutup dengan bantuan anggota dari Balai Polis Kahang.
"Suspek berjaya ditahan di pekan Kahang, Kluang bersama kereta mangsa," katanya kepada Sinar Harian.
Cyril berkata, kehilangan kereta Perodua Myvi itu disedari apabila rakan mangsa memberitahu kenderaan yang baru diparkir sekitar jam 8.15 pagi itu sudah tiada di tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Ismail, Mersing.
Menurutnya, suspek lelaki berusia 31 tahun yang ditahan itu beralamat dari Bahau, Negeri Sembilan.
"Suspek yang ditangkap itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan berasal dari Bahau, Negeri Sembilan.
"Orang awam turut membantu pihak kami dalam tangkapan tersebut," katanya.
Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Mersing untuk pertuduhan, esok.
loading...