MOSCOW – Seorang lelaki di Rusia mengambil pendekatan luar biasa untuk ‘mengajar’ isteri sendiri yang menukar nama tanpa pengetahuannya, dengan memenuhkan konkrit ke dalam kereta milik pasangannya itu.
Dalam satu rakaman yang diambil menggunakan telefon bimbit, lelaki yang tidak dinamakan itu, dilihat mengarahkan sebuah trak simen untuk mengambil kedudukan sebelum memasukkan konkrit ke dalam kereta isterinya menerusi tingkap.
Video berkenaan yang menjadi tular dalam laman sosial, mencetuskan persoalan mengapa lelaki itu bertindak sedemikian.
Menurut laporan portal Oddity Central, pasangan itu didapati berselisih faham apabila si isteri didapati menukar nama tanpa kebenarkan suaminya semata-mata mahu mendapatkan harga promosi di sebuah pasar raya di Saint Petersburg.
Pasar raya Veniy, menawarkan ganjaran sebanyak 50,000 rubles (RM3,904) sebulan kepada pelanggan yang sanggp menukar nama kepada nama produk yang dipasarkan.
Disebabkan tawaran itu, wanita berkenaan mengambil keputusan untuk menukar namanya tanpa pengetahuan si suami.
Tindakan wanita itu membuatkan suaminya berang dan mengambil keputusan memasukkan konkrit ke dalam kereta yang sangat disayangi oleh isterinya.
Difahamkan, kereta itu diletakkan di luar pasar raya berkenaan dan isteri lelaki tersebut tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan suaminya. – mstar