BATU KIKIR: Seorang wanita tempatan yang tidak tahan kerap diperlakukan dengan kasar ketika hubungan seks bertindak nekad memotong kemaluan suaminya, seorang warga Pakistan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu pada jam 1.30 pagi, wanita berusia 51 tahun itu yang mengahwini suaminya yang berusia 44 tahun, Mei tahun lalu, melakukan perbuatan itu ketika mangsa sedang tidur.
Wanita itu dengan perlahan-lahan menanggalkan seluar suaminya, lalu memotong kemaluan menggunakan sebilah mata pisau cukur menyebabkan lelaki itu meraung kesakitan.
Suaminya yang bekerja sebagai peniaga melarikan diri dari rumah dan pergi ke Balai Polis Batu Kikir, kira-kira jam 1.55 pagi. Anggota polis yang terkejut dengan kedatangan mangsa dalam keadaan berlumuran darah segera menghantarnya ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan.
Bahagian kemaluan yang dipotong di tempat kejadian juga diambil dan dibawa ke hospital.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk menyambungkan semula kemaluannya dan setakat ini, keadaannya dilaporkan stabil.
Beliau berkata, polis juga menahan isteri mangsa dan menemui pisau cukur yang digunakan dalam kejadian itu manakala kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata bahaya. Berita Harian