New Delhi – Seorang lelaki dipercayai mabuk mengejutkan orang ramai apabila terjun ke dalam parit yang mengelilingi kandang singa di sebuah zoo semata-mata mahu bersalam dengan haiwan ganas itu.
Tindakan Murkesh Kumar, 35, itu menyebabkan orang ramai menjerit apabila melihatnya meranduk air setinggi paras dada ke arah singa yang menunggunya di seberang.
Kumar mengunjungi Taman Zoo Nehru di Hyderabad bersama rakannya dan dilaporkan minum arak sebelum tiba-tiba terjun empat meter ke dalam kandang itu.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan bunyi air berkocak akibat perbuatannya mengejutkan pengunjung lain yang menjerit menyuruhnya tidak bergerak.
Namun, Kumar tidak mengendahkan mereka sebaliknya meredah air ke arah singa yang dinamakan Krishna dan Radhika sambil berkata ‘Datanglah sini sayang.’-The Kuala Lumpur Post