Irkutsk, Siberia (Russia): Seorang lelaki memandu dengan cara
bahaya di tempat letak kereta pusat beli-belah menerima padah apabila ‘diajar’
wanita besi Siberia selepas lelaki itu memberhentikan keretanya dengan mengejut
di depan kereta wanita berkenaan.
Oksana Kosheleva, 34, yang berang dengan pemanduan bahaya itu
menarik lelaki berkenaan keluar dari keretanya, memikulnya dan memasukkan
lelaki itu ke dalam tempat simpan barang keretanya. Dia kemudian memandu keluar
dari kawasan itu dan meninggalkan lelaki itu di tepi jalan.
Menurut Siberian Times, ketika kejadian, rakan lelaki itu yang
dikenali sebagai Artyom, merakam aksinya menunjukkan kebolehan memandu di
kawasan letak kereta berkenaan.
Oksana yang terkenal di Siberia dengan kekuatannya menarik lori,
tram dan helikopter, tidak senang dengan perbuatan Artyom melakukan aksi ‘drift’
itu.
“Ia berlaku mengejut dan ini kali pertama berlaku kepada saya.
“Saya jerit kepadanya ‘Apa kamu buat ini? Ini tempat letak
kereta’.
“Dia kemudian bertengkar dengan saya dan saya berkata ‘Kamu
patut belajar cara letak kereta yang selamat, ada kanak-kanak di sini’, kata
Oksana.
Menurutnya, dia memutuskan untuk ‘mengajar’ Artyom, bukan
memukulnya.
“Saya wanita, berlawan bukan untuk saya,” katanya.
Artyom yang malu dengan kejadian itu berkata ‘tiada apa yang
berlaku’.
Menurutnya, dia tidak melawan balik kerana mengenali siapa
Oksana dan tahu kekuatannya.
Januari lalu, Oksana menarik dua tram berisi penumpang dengan
jumlah berat 36 tan.
loading...
loading...