Uqasha tiada niat main-main


  • Menjadi artis biasanya begitulah - tidak akan ada orang berpuas hati semuanya, atau tiada istilah bebas daripada celaan.
Walaupun pedih, namun Uqasha Senrose kini bersedia berdepan pelbagai kecaman masyarakat ekoran keputusannya membuka tudung selepas tiga tahun berhijab.
“Sebelum melakukan perkara itu (membuka hijab), penerimaan masyarakat menjadi antara faktor utama yang saya fikirkan.
“Meskipun tahu penilaian masyarakat akan lebih menjurus kepada sisi negatif, saya bersiap sedia untuk menempuh cabaran itu.
“Perkara terpenting untuk dinyatakan ialah, walaupun saya tidak lagi bertudung saya tiada niat untuk mempermain-mainkan Islam," katanya kepada Malaysiakini hari ini.


Semalam media menyiarkan laporan mengenai status Uqasha yang tidak lagi menutup kepalanya selepas tampil begitu sebelum ini.
Ia kemudian mengundang pelbagai kritikan daripada peminat.
Sebuah portal hiburan pula menyiarkan kenyataan Uqasha - atau nama asalnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen - membuka tudung kerana kurang keyakinan pada diri sendiri.
Kebimbangan pelakon teater Ombak Rindu itu dikatakan berpunca daripada sikap acuh tak acuh yang dirasakan semakin membebankan selepas dia terburu-buru menutup rambut ekoran mengalami kekecewaan putus cinta.
Ekoran daripada kenyataan berkenaan, ruang komen media sosial Uqasha dilewati oleh puluhan komen mengecamnya.
Jangan kecam ya
Ia termasuk komen daripada seorang pengguna yang memberi ‘notis’ akan berhenti meminati dan mengikuti perkembangan pelakon berkenaan kerana sudah tidak lagi bertudung.
“OK selamat tinggal Uqasha, saya akan unfollow awak. Diharap yang tidak sokong dia bertudung silaunfollow, maaf jangan kecam ya,” tulis pengguna akaun zaleha_86.
Pada awal tahun ini pula, kakak kepada Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose itu juga pernah menimbulkan kekecohan apabila gambarnya yang dianggap mencolok mata ketika bercuti di Koh Lipe, Thailand tersebar.
Kata Uqasha, 25, orang lain tidak akan faham apa yang dilakukannya kini.
Dia juga menafikan membuka tudung kerana tertekan akibat kurang mendapat tawaran berlakon.
Katanya, keputusan dibuat tidak langsung ada kena mengena dengan perkara terbabit.
Bagi Uqasha, biarlah niat menutup aurat dan berubah untuk kebaikan dipelajari secara perlahan-lahan dan bermula dari perkara asas seperti memperbaiki diri secara dalaman.
“Saya akui masih muda dan terkhilaf dalam membuat keputusan terdahulu.
“Sejak saya pakai tudung ramai mencemuh malah ada saja kekurangan diri saya diperkatakan, seolah-olah serba-serbi tidak sempurna pada pandangan mereka.
“Oleh itu, saya tidak mahu bab pakai dan buka tudung menjadi isu lagi.
“Biarlah keyakinan dan tawaduk itu datang sepenuhnya satu hari nanti dan saya yakin harinya akan tiba untuk saya menutup aurat dan tidak membukanya lagi,” katanya.

Sumber...malaysiakini