KUALA LUMPUR - Seorang wanita dan anak lelakinya berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari Tingkat 32 bangunan kediamannya di Kiara Residence, Bukit Jalil di sini hari ini.
Wanita berusia 23 tahun itu dan anaknya ditemui terbaring di koridor tingkat satu dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, siasatan awal mendapati wanita itu mengalami masalah kemurungan.
"Suaminya yang berusia 28 tahun, seorang ejen hartanah, pernah membawa isterinya mendapatkan rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada Mei atau Jun lalu,"katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chong berkata, sebelum kejadian itu, wanita berkenaan memberitahu suaminya dia mahu membuang sampah ketika mereka sedang bersiap untuk ke Karak, Pahang.
"Ketika sedang mengemas beg, wanita itu memberitahu suaminya dia mahu membuang sampah dengan membawa anaknya bersama. Lima minit kemudian, suaminya meminta adik perempuannya mencari isteri dan anaknya di tempat parkir sementara beliau mengemas beg untuk dibawa ke kereta.
"Pada masa itu, dia terdengar bunyi yang kuat dan apabila menjenguk ke bawah dari unit rumahnya di Tingkat Sembilan, dia ternampak isteri dan anaknya dalam keadaan terbaring," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan polis di lokasi kejadian turut menemukan telefon bimbit milik wanita itu di tingkat 32 bangunan berkenaan yang merupakan kawasan rehat penghuni di situ.
"Kawasan itu dilengkapi cermin setinggi empat meter yang berperanan sebagai penghadang," katanya.
Mayat dua beranak itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini untuk dibedah siasat. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/