Alor Setar: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipukul tiga pelajar senior akibat salah faham di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, pagi semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Anas Amir, 14, mendakwa ditumbuk dan dihantuk kepala ke dinding oleh pelajar berusia 15 tahun dalam sebuah bilik darjah pada waktu pagi, namun kejadian itu hanya disedari keluarga ketika mangsa pulang ke rumah dan mengadu sakit kepala.
Bapa mangsa, Amir Ahmad, 47, berkata dia kemudian membawa anak ketiga daripada empat beradik itu ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan selepas anaknya muntah beberapa kali.
Katanya, anaknya sempat menceritakan apa yang berlaku dan ia dipercayai akibat salah faham menyebabkan anaknya dipukul sehingga berlaku pendarahan di kepala.
"Berikutan itu, saya membuat laporan di Pondok Polis HSAH Sungai Petani, malam tadi untuk memaklumkan kejadian dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila salah seorang daripada suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa menarik tangan adiknya untuk masuk ke dalam kelas selepas diarah oleh guru.
"Hasil ujian x-ray mendapati berlaku pendarahan dalam kepala mangsa yang kemudian dirujuk ke HSB untuk rawatan lanjut. Polis sudah menahan empat pelajar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.