Soalan:
Terdapat hadith daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW melarang untuk menyimpan daging korban lebih dari 3 hari. Bagaimana untuk memahami hadith tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa para ulama telah berbeza pendapat terhadap hukum menyimpan daging korban melebihi 3 hari 3 malam kepada dua pendapat yang masyhur iaitu:
Pertama: Haram menyimpan daging korban melebihi 3 hari. Ini adalah pendapat Ali RA dan juga pendapat Ibn Umar R.Anhuma. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim iaitu daripada Abu Ubaid bahawa beliau berkata:
شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَبَدَأَ بِالصَّلاَةِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ وَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَانَا أَنْ نَأْكُلَ مِنْ لُحُومِ نُسُكِنَا بَعْدَ ثَلاَثٍ
Maksudnya: Aku telah bersama’Ali bin Abi Talib ketika hari raya (korban) maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah kita daripada memakan daging korban melebihi 3 hari”.
Riwayat Muslim (1969)
Seterusnya, Ibn Umar R.Anhuma juga ada menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ يَأْكُلْ أَحَدٌ مِنْ لَحْمِ أُضْحِيَّتِهِ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ
Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu memakan daripada daging korban melebihi 3 hari.
Riwayat Muslim (1970)
Di dalam sebuah athar juga ada menyebutkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma tidak memakan daging korban melebihi 3 hari dan ini diriwayatkan sendiri oleh anaknya Salim.
Kedua: Dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi 3 hari dan hadith mengenai larangannya itu telah dimansukhkan. Ini adalah pendapat jumhur para ulama’.
Terdapat banyak hadith yang menunjukkan kepada keharusan menyimpan daging korban melebihi 3 hari, antaranya riwayat daripada Abdul Rahman bin ‘Abis daripada bapanya telah bertanyakan kepada ‘Aisyah R.Anha adakah Rasulullah SAW telah melarang dari memakan daging korban melebihi 3 hari dan jawab ‘Aisyah R.Anha:
مَا فَعَلَهُ إِلاَّ فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: Tidaklah Rasulullah SAW melakukannya (iaitu melarangnya) pada tahun di mana manusia berasa lapar dan demikian itu Rasulullah SAW mahukan akan yang kaya dapat memberi makan kepada yang miskin. Namun kemudiannya kami juga menyimpan bahagian kaki kambing dan memakannya 15 hari kemudiannya.
Riwayat Al-Bukhari (5423)
Begitu juga dengan beberapa hadith yang menunjukkan bahawa larangan tersebut telah dimansukhkan, antaranya:
i- Daripada Salamah bin al-Akwa’, telah berkata Rasulullah SAW:
مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَفِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَىْءٌ. فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ الْمَاضِي قَالَ : كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا فَإِنَّ ذَلِكَ الْعَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah. Ketika mana tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami melakukan sepertimana tahun lepas. Jawab Baginda SAW: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain”.
Riwayat Al-Bukhari (5569) & Muslim (1974)
ii- Daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
يَا أَهْلَ الْمَدِينَةِ لاَ تَأْكُلُوا لُحُومَ الأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلاَثٍ. وَقَالَ ابْنُ الْمُثَنَّى ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ . فَشَكَوْا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنَّ لَهُمْ عِيَالاً وَحَشَمًا وَخَدَمًا فَقَالَ كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَاحْبِسُوا أَوِ ادَّخِرُوا .
Maksudnya: Wahai ahli Madinah. Janganlah kalian makan daging korban melebihi tiga (hari). Maka para sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW sesungguhnya mereka mempunyai anak-anak dan juga hamba yang perlu diberi makan maka Rasulullah SAW berkata: “Makanlah, dan berikan makan kepada orang lain dan simpanlah (daging tersebut)”.
Riwayat Muslim (1973)
Kesimpulan
Melihat kepada perbahasan ini, kami katakan bahawa pendapat kedua lebih tepat dan ianya telah memansukhkan pendapat yang pertama sepertimana yang telah dinukilkan riwayat-riwayat yang berkaitan dengannya sebelum ini.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan: “Dibolehkan untuk menyimpan sebahagian daripada daging korban. Adapun larangan menyimpan daging korban melebihi tiga hari dilarang oleh Nabi SAW kemudian Baginda SAW telah mengizinkannya dan ianya thabit di dalam hadith yang sahih lahi masyhur.” [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 8/418]
Ianya juga melihat kepada ‘illah (sebab) mengapa Rasulullah SAW melarangnya kerana pada waktu itu telah berlakunya musim kelaparan dan tujuan larangan tersebut adalah untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan. Sekiranya daging korban di simpan melebihi tiga hari, maka tujuan memberi makan mereka yang memerlukan tidak tercapai. Ini juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’.
Semoga dengan pencerahan ini, maka kita dapat memahami akan illah dan juga sebab dalam sesuatu bentuk arahan serta larangan yang berkaitan dengannya daripada Rasulullah SAW. Wallahu a'lam.
AKhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
18 Ogos 2016 bersamaan 15 Zulkaedah 1437 H.