Amal 21 Rahsia Ini Rumah Tangga Kekal Bahagia Hingga Ke Jannah. Dengan IzinNYA!


jannah
Bukan senang menghadapi alam perkahwinan kerana anda perlu melalui beberapa fasa kecil hingga ke fasa yang lebih besar. Semua itu bermula pada hari pertama anda berkahwin, mempunyai anak hinggalah ke akhir hayat.

1. Ungkapkan Kata-kata Lembut
Ada pasangan apabila bergaduh susah untuk bercakap baik. Biasanya mereka terlalu mudah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pasangan. Akibatnya ada juga yang mungkin terasa hati walaupun hubungan baik. Oleh itu, sentiasalah mengungkapkan kata-kata yang manis kepada pasangan walaupun dalam keadaan marah.

2. Terima Kekurangan Masing-masing
Biasanya sebelum berkahwin, masing-masing boleh menerima seadanya. Tetapi bila dah kahwin, ada sahaja kekurangan yang tidak kena. Mentang-mentanglah pasangan anda tidak seperti yang diidamkan, anda tidak melayannya sebagai pasangan suami isteri yang sah. Biar siapapun dia, belajarlah menerima seadanya dan melengkapi kekurangan tersebut.

3. Sentiasa Mengambil Berat Hal Pasangan
Itu belum lagi kalau pasangan itu berpisah kerana bekerja. Seorang di utara, seorang di selatan. Kalaupun anda sibuk di pejabat, ini tidak bermakna kebajikan pasangan diabaikan. Sekurang-kurangnya telefonlah bertanya khabar. Kalau balik lambat, mungkin anda boleh whatsapp ataupun telefon supaya isteri di rumah tidak bimbang atau curiga.

4. Jangan Suka Menunding Jari
Inilah salah satu punca pasangan bergaduh. Masing-masing tidak mahu mengalah disebabkan perkara yang kecil. Ada sesetengah pasangan sukar untuk mengaku kesalahan biarpun sudah jelas dialah yang memulakan pertengkaran. Cari jalan sepakat dengan berbincang apa yang tidak puas hati dalam rumah tangga supaya dapat diselesaikan dengan aman.

5. Jangan Amalkan Sikap Mengungkit
Memang kita akui tanggungjawab si suami memang berat pada zahirnya. Tetapi itu tidak bermakna pasangannya tidak boleh bertolak ansur untuk meringankan beban si suami. Jika diperlukan, apa salahnya menolong tetapi jangan sesekali suka mengungkit tiap kali bergaduh kerana itu tentunya akan mengecewakan pasangan.

6. Bergurau Senda Mengikut Keadaan
Tidak salah anda bergurau senda biarpun dalam usia emas. Tonjolkan kasih sayang anda di depan anak-anak supaya mereka dapat mencontohi anda dan pasangan dalam semua hal. Tetapi jangan pandai-pandai bergurau ketika pasangan baru balik dari kerja ataupun tengah moody.

7. Amalkan Makan Di Rumah
Ada suami yang suka mengamalkan tabiat makan di luar sejak zaman bujang lagi. Bukan setakat tidak pernah masuk ke dapur, tetapi buat tidak endah jika si isteri masak di rumah. Janji perut kenyang. Sudahnya isteri makan hati. Sudahlah waktu kerja sentiasa sibuk, apakata hari minggu luangkan masa untuk makan bersama keluarga pula.

8. Habiskan Masa Dengan Anak-anak Dan Keluarga
Waktu kerja diberikan sepenuhnya di pejabat. Habis waktu kerja, jangan lupa setkan minda anda di rumah pula. Luangkan masa dengan baik dan teratur untuk keluarga yang lebih memerlukan anda.

9. Sentiasa Peka Dengan Masalah Pasangan
Biasanya wanita yang sering berdiam diri jika berasa tidak puas hati dengan sikap pasangan. Hendak diluahkan bimbang akan bergaduh besar. Si lelaki pula tidak faham jiwa. Bila satu hari si isteri berdiam diri ataupun bermasam muka, janganlah buat tidak tahu sahaja. Cuba tanya apa masalahnya dengan sebaik mungkin.

10. Jangan serahkan kebajikan keluarga kepada pembantu rumah
Kalau dua-dua orang bekerja, pastikan masa bersama anak-anak dimanafaatkan sebaik mungkin. Kalau boleh tetapkan waktu petang bersama anak-anak jika tiada apa-apa aktiviti luar.
Kalau boleh elakkan balik lewat malam ketika anak sudahpun tidur. Jika anda ada pembantu rumah, kemungkinan anak-anak akan lebih rapat dengan pembantu rumah daripada ibu bapa sendiri.

11. Elakkan Meninggikan Suara Di Hadapan Anak-anak
Emosi sememangnya sukar dikawal. Kalau bom meletup memang sukar dijangka. Tetapi kalau boleh dikawal, silalah kawal. Orang dewasa sepatutnya berfikir secara bijak dengan tidak bergaduh di depan anak-anak. Seharusnya anak-anak tidak perlu dilibatkan dengan masalah orang dewasa.

12. Bersikap Romantik
Tidak semestinya cinta di usia tua tidak perlu romantik. Cuba imbas kembali kenangan dulu-dulu sebelum berkahwin. Kalau dirasakan perlu menghadiahkan si dia dengan bunga ataupun kad ucapan.

13. Masa Berdua Dengan Pasangan
Harus ada masa untuk anda berdua sahaja. Berdua bermaksud tanpa anak-anak. Tanpa pengasuh atau ahli keluarga yang lain. Pergilah bercuti ke mana sahaja tanpa mereka. Tetapi pastikan anak-anak sudah besar dan boleh uruskan diri sendiri.

14. Buat Semua Perkara Dengan Ikhlas
Pastikan anda buat semua perkara yang diminta oleh pasangan dengan baik dan ikhlas. Biarpun penat atau dalam keadaan marah sekalipun, jangan sesekali merungut atau memberi layanan dengan rasa tidak puas hati. Bimbang juga takut nanti tiada keberkatan dalam rumahtangga.

15. Lakukan Hobi Bersama-sama
Tidak salah si suami atau isteri mempunyai hobi ketika belum berkahwin. Bagi si lelaki yang cenderung ke arah bola sepak, tidak semestinya melupakan minat sedia ada sesudah berkahwin.
Kalau boleh terangkan kepada isteri supaya tidaklah dia berasa tertekan setiap kali anda keluar mencari hiburan bersama rakan-rakan lama. Kalau anda boleh ajak si isteri turun ke stadium lagi bagus.

16. Elak Membebel Atau Mengkritik Pasangan
Jangan amalkan sikap serba tidak kena. Selalulah berpuas hati dengan pasangan walau apapun dia buat atau dia pakai. Jangan sesekali menegur atau mengkritiknya terlalu kerap hingga menjatuhkan maruahnya. Seharusnya anda memberi kelonggaran untuknya agar berbuat sesuatu yang dia suka asalkan tidak melampaui batas.

17. Sentiasa Memuji Pasangan
Perbanyakan puji dari mengeji atau mengejek. Lelaki atau wanita mana yang tidak suka dipuji tetapi janganlah berlebihan hingga dianggap ejekan. Anda memang boleh memuji tetapi biarlah sesuatu yang betul dan bukan sengaja untuk mengambil hati.

18. Sentiasa Bersyukur Dan Berterima kasih
Perkara ini memang remeh tetapi tahukah anda, sikap remeh dengan tidak berterima kasih walaupun perkara kecil boleh mengundang rasa kecil hati pasangan? Cubalah belajar berterima kasih di atas segala pemberian pasangan. Berterima kasih biarlah bertempat, nanti orang naik rimas pula.

19. Melatih Anak-anak Bersikap Baik
Ibu bapa mana yang tidak mahu zuriat yang baik-baik. Sesibuk mana anda dan pasangan, kebajikan dan batasan pergaulan anak-anak dijaga. Kalau boleh jangan sesekali amalkan sikap lepas tangan kepada pasangan anda sahaja. Anak-anak juga harus diasuh sejak kecil supaya sentiasa menghormati orang yang lebih tua agar kelak dewasa mereka pandai memilih jalan yang betul.Itu tanggungjawab anda sebagai bapa.

20. Jangan Tolak  Untuk Bersama
Bila sebut tentang perkara di atas, semua terbayangkan yang indah-indah belaka. Ada juga yang takut bila mana hanya ada anda berdua tanpa anak-anak. Kadang-kadang si isteri yang penat setelah pulang dari bekerja tidak mampu melayani si suami yang mahu hubungan intim tidak kira masa.
Demi kebahagiaan rumahtangga anda, jangan amalkan perkara sebegini, sebaliknya cari masa yang sesuai agar tidak mengecewakan mana-mana pihak.

21. Jujur
Tiada gunanya kalau anda tidak mempercayai pasangan. Perlu diingat, dalam mencari kemanisan rumahtangga, kejujuran adalah tiangnya. Runtuhnya tiang, bermakna runtuhlah sesebuah institusi kekeluargaan. Biar apa sahaja situasi anda dan pasangan, harus ada sikap saling percaya di antara satu sama lain.