Keluarga perjelas Kenapa Pilih kebumi Haron Din di AS



KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan dan usaha yang dihulurkan bagi membawa pulang jenazah Mursyidul Am PAS itu ke tanah air.


Walaupun akhirnya keluarga memutuskan pengebumian jenazah pendakwah dan tokoh perubatan Islam itu disempurnakan di San Francisco, California, Amerika Syarikat, anaknya, Dr Huda Haron, mengakui bantuan diberi termasuk tawaran menyediakan pesawat persendirian amat menyentuh perasaan.

"Kami menghargai usaha pihak kerajaan terutama (Timbalan Perdana Menteri) Dato' Seri Zahid Hamidi yang bersusah payah membantu aturkan pesawat persendirian. "Terima Kasih. Sangat2 kami hargai dan tersentuh.

Kami sekeluarga merakamkan penghargaan atas keperihatinan Dato' Seri yang bersusah payah bertanya khabar dan menelefon sendiri Mama. Juga berkali2 bercakap sendiri dengan Balin jarak jauh melalui telefon," katanya. Ucapan itu dimuat naik dalam entri ke akaun Facebook milik Tuan Guru Dato' Dr Haron Din (Official) kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Dalam nukilan panjang lebar penuh emosi dari California itu, Dr Huda berkali-kali memohon maaf kepada keluarga, pelajar bapanya, sahabat dan kepemimpinan tanah air atas keputusan keluarganya mengebumikan Allahyarham di luar negara.

Katanya, mereka lima beradik bersama ibu sepakat dengan keputusan itu selepas mengambil kira pesanan Allahyarham yang mahu dikebumikan di tempatnya meninggal dunia.
UMAT Islam menunaikan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Haron Din yang diimamkan Timbalan Imam Besar, Ustaz Ehsan Mohd Hosni di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor "Semasa hayat baba, teringat suatu ketika nak bawa mayat dari Kuala Lumpur ke Perlis pun baba takkan izin.

Inikan pulak berjam2 malah berhari2 dalam peti ais. Pulak tu perlu melalui 'embalm' (pengawetan) yang pastinya menyeksakan segenap urat saraf.

"Walaupun ramai yang telah menghulurkan bantuan untuk urusan dibawa pulang, tapi jangkamasa 7 hari suatu yang tidak dapat kami terima untuk biarkan baba tanpa penghormatan dan kemuliaan yang sepatutnya.

"Hatta jika tanya hati kecil saya yang memang mementingkan diri sendiri, tentunya saya mahu baba dekat bersama-sama kita. Biar ingatan tidak padam sampai bila-bila kerana batu tandanya dekat dengan kita. Biar kita mampu ziarah hari-hari. Biar semua yang lain dapat ziarah berkali-kali. Biar ada depan mata.

"Itu kehendak kita dan saya rasa juga kehendak ramai lagi yang sayangkan baba. Tapi apakah keputusan itu tepat untuk baba? "Menyegerakan pengendalian dan penyelenggaraan jenazah juga dituntut syara'.


  1. Kita rasa baba milik kita, sebenarnya baba milik Allah," katanya sambil mengulangi permohonan maaf keluarga di akhir catatan itu.