BANGKOK, THAILAND - Amnat Salubthong, 43, segera menuruni tangga kediamannya apabila dia menyangka anaknya berusia 4 tahun dibuli oleh kanak-kanak lain.
Dalam kejadian 6 Oktober lalu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan, lelaki dewasa berkenaan menerajang kepala mangsa sebanyak tiga kali sehingga terjatuh ke lantai.
Amnat kemudian mengangkat anak lelakinya itu dan sekali lagi menendang mangsa sebelum kembali ke rumahnya.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan menyerah diri di balai polis selepas video rakaman CCTV itu viral di media sosial dan disiasat oleh pihak polis.
Pegawai polis Khanna Yao, Saowaluck Suwanmanee berkata, Amnat telah datang ke balai polis dan mengakui telah melakukan serangan itu terhadap mangsa.
"Menurut Amnat, dia berlari ke bawah dari tingkat lima selepas terdengar suara anaknya menangis. Dia menyangka anaknya dibuli.
"Amnat mengaku menyerang mangsa kerana dia tidak dapat mengawal kemarahannya pada ketika itu," katanya.
Pihak polis perlu meneliti rakaman CCTV sebelum menjatuhkan pendakwaan terhadap lelaki itu. - The Reporter