(INFO BERGUNA) Hukum Doktor Lelaki Menyambut Wanita Bersalin





Suatu malam rumah saya didatangi beberapa orang mahasiswa dari kalangan pelajar perubatan Tanta. Memandangkan sebelum ini kami pernah terlibat sama dalam program persatuan, maka saya mengenali mereka.

“Saya pelik, kenapa ramai doktor lelaki terlibat dalam bidang perbidanan (wanita bersalin)?” Saya cuba menduga.


“Tak ramai sebab bidang perbidanan ini sebenarnya risikonya tinggi dan agak susah.. contohnya kalau ada emergency kes tengah-tengah malam ada orang nak beranak susahla doktor perempuan nak tolong..” Jawabnya.


Sudah saya jangkakan jawapannya. Saya cuba berfikir relevan di sebalik jawapan itu sambil tangan mencobek ketulan cucur bawang yang kami sediakan untuk mereka. Sedap juga menjamah cucur panas-panas begini.


“Lagipun doktor lelaki jadi dah biasa dah macam tu (sudah mangli melihat aurat wanita ketika mahu bersalin, tidak bernafsu lagi)..” Sambungnya lagi.


Saya juga telah menulis artikel berkaitan rawatan ke atas pesakit berlainan jantina di sini.


Jawapan di atas pula bakal saya jawab sebentar lagi. Teruskan membaca subtopik di bawah.



ALASANNYA DARURAT



Ada di kalangan mereka yang mengharuskan lelaki terjun ke dalam bidang sakit puan atau obstetrik dan ginekologi (O&G) dengan beralasan darurat. Malah menggunapakai kaedah masyhur qawaid fiqh yang berbunyi:


Maksudnya: “Darurat boleh mengharuskan perkara yang diharamkan dengan syarat darurat tersebut tidak kurang (bukan lebih kecil) berbanding perkara yang diharamkan.”


Perlu diketahui, kaedah di atas bagi darurat doktor lelaki merawat ataupun menjadi bidan kepada wanita bersalin adalah terlalu umum. Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut tanpa membuat pengecualian hal ehwal sakit puan.


Justeru, kita tidak boleh mengkiaskan darurat memakan bangkai secara keseluruhannya. Ini kerana darurat memakan bangkai berbeza dari beberapa sudut. Antaranya ialah:


1. Merujuk kepada masalah keharusan memakan bangkai, ianya tidak melibatkan pihak kedua. Maksudnya ia hanya melibatkan individu yang memakan bangkai itu sahaja. Manakala bagi kes bersalin, ianya melibatkan pelbagai pihak bersama iaitu pesakit, suami dan doktor yang menyambut kelahiran itu sendiri.


2. Seterusnya jika berlaku kes bersalin, kesan di sebalik perbidanan itu adalah amat besar samaada terhadap emosi sehinggakan si isteri akan mengalami trauma berpanjangan. Begitu juga suami, pasti akan mengundang rasa ‘lain’ apabila lelaki asing melihat aurat mughallazah isterinya. Doktor juga tidak dapat lari daripada menerima kesan akibat kes perbidanan tersebut seandainya masih bergelar lelaki sejati.


3. Harus memakan bangkai dikategorikan sebagai perkara yang ta’abbud. Oleh itu apabila berlaku pertembungan antara ta’abbud dengan tujuan pensyariatan (maqasid syariah) maka mestilah mendahulukan maqasid syariah. Menjaga aurat adalah salah satu tujuan pensyariatan (iaitu menjaga maruah), dan berubat juga merupakan salah satu tujuan pensyariatan (iaitu menjaga nyawa). Ini kerana, ada sesetengah keadaan didahulukan menjaga maruah berbanding menjaga nyawa, dan ada sesetengah keadaan di dahulukan menjaga nyawa berbanding menjaga maruah.


Contoh lain, misalnya terdapat kes seorang wanita dipaksa berzina, jikalau tidak berzina maka akan dibunuh. Oleh itu dalam masalah ini ulama’ mengharamkan wanita berkenaan berzina, jadi hendaklah memilih untuk dibunuh berbanding berzina. Mengapa? Kerana berzina risikonya lebih besar berbanding bunuh. Antara risiko jenayah zina ialah kesan trauma, kesedihan, kemurungan terhadap mangsa dan keluarga. Malah kesan ini akan lebih teruk jika menyebabkan kelahiran anak luar nikah.



ALASAN MEREKA YANG LAIN



Saya merasakan alasan kerana wanita sukar untuk keluar malam jika berlaku kes kecemasan adalah tidak relevan sama sekali. Ini kerana dunia kini bertambah canggih dan mempunyai pelbagai kemudahan perhubungan. Bahkan wanita itu juga boleh ditemani suami ataupun mahram jika keseorangan.




Cuba kita renung sejenak, dahulu ibu-ibu kita melahirkan anak bagaimana? Hanya atas pertolongan mak bidan menggunakan perubatan tradisional. Terdapat juga sesetengah tempat mereka menggunakan khidmat jururawat bergerak. Kesemua mereka adalah wanita. Mereka sanggup berkorban demi membantu kaum sendiri tanpa beralasankan hari sudah larut malam. Dunia bertambah canggih, ini bukan ceritera kisah menunggang basikal tua!


Oh, saya sedikit geli hati mendengar alasan doktor lelaki sudah bosan melihat aurat wanita sehinggakan tidak rasa bersyahwat lagi. Jawapannya mudah, apakah doktor lelaki itu sudah mati pucuk? Atau sudah menjadi tidak normal? Sungguh kasihan jika itu berlaku.


Faktanya, lelaki yang mengubati wanita dan terpaksa melihat aurat lebih berisiko iaitu risiko terdedah kepada perzinaan. Ini bukan bermaksud terdedah kepada berzina dengan pesakit ketika rawatan sahaja, bahkan ianya mendorong kepada perzinaan umum, tidak kira samaada dengan pesakit atau bukan pesakit.


Secara teorinya, melihat aurat terutama bahagian aurat mughallazah (bahagian alat kelamin) boleh merangsang hawa nafsu. Lantas ransangan ini mendorong seseorang ke arah perzinaan walaupun sekadar istimta’ (ringan-ringan).


Teori ini disokong oleh kajian daripada W.H.O yang menyatakan hampir 20% doktor lelaki menjalinkan hubungan seks dengan pesakit wanita. Ini termasuklah kes pegawai perubatan yang merogol pesakit ketika koma sehingga menyebabkan mengandung di barat. Perkara sebegini akan bertambah teruk jika dimonopoli oleh para doktor lelaki yang masih bujang dan tidak berakhlak.


Qatadah meriwayatkan: Telah sampai kepadaku sabda Rasulullah SAW dengan maksudnya: “Tidak harus bagi mana-mana perempuan yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat (memperlihatkan anggota dan mereka) melainkan di bahagian ini, sambil baginda memegang bahagian tengah lengannya.” (Maksud bahagian tengah ialah – bermula dari hujung jari sehingga separuh lengan, bukan pergelangan tangan)


Terdapat riwayat di dalam sebuah hadis yang sahih bahawa Ibnu Abbas r.a berkata kepada Ato’ bin Abi Robah r.a bermaksud:


“Mahukah engkau jika aku tunjukkan seorang perempuan ahli syurga?”


Ato’ menjawab: “Ya.”








Ibnu Abbas berkata: “Perempuan hitam ini telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Aku dirasuk dan auratku tersingkap, maka bolehkah engkau doakan untukku?” Rasulullah SAW bersabda: “Jika engkau mahu bersabar, maka bagimu syurga. Jika engkau mahu aku mendoakan kesejahteraan, (maka aku akan doakan)”. Perempuan itu berkata: “Aku memilih bersabar (menanggung keperitan)”. Ia menambah: “Auratku tersingkap, maka doakanlah untukku supaya ia tidak tersingkap (ketika tidak sedarkan diri). Maka Rasulullah SAW pun mendoakan untuknya.


Perkara begini bukan sesuatu hal yang sangat-sangat ringin persis debunga yang berterbangan ditiup angin. Ini juga bukan masalah menghirup kopi sambil menonton gusti di warung kampung. Ini soal maruah seorang wanita. Hati wanita mana tidak remuk seandainya selama berpuluh tahun elok berhijab menutup aurat, menjaga rambutnya dari terdedah, namun diragut maruah hanya kerana peristiwa beberapa jam saat kelahiran anak. Mungkin wanita yang tidak menutup aurat kurang merasa kesengsaraan jiwa, tetapi bagi yang selalu menjaganya. Pasti ia merupakan detik hitam yang kelam dan hitam.


Pada hemat saya, ini adalah salah satu strategi pihak yahudi dan barat menusukkan jarum-jarum halus mereka. Sengaja meramaikan pelajar lelaki di dalam bidang sakit puan, dan meramaikan pihak wanita di dalam bidang sakit tuan. Natijahnya, soal aurat langsung tidak dititikberatkan lagi sehinggakan mencetuskan kecelaruan fikrah di benak-benak umat Islam.



FARDHU KIFAYAH YANG MENJADI FARDHU AIN



Bidang sakit puan & perbidanan (O&G) akan menjadi fardhu ain jika kekurangan doktor muslimah. Fardhu ain ini terpundak di atas bahu-bahu pelajar perubatan wanita yang kini sedang menuntut di mana sahaja hamparan bumi. Bukan untuk lelaki. Ayuh, sahutlah seruan ini wahai kaum hawa demi masa depan dirimu sendiri. Apakah akan terjadi jika fardhu ain juga diabaikan? Saya yakin kalian juga tahu hukumnya.




Kaedah hukum fiqh mengatakan bahawa:
“Jika sesuatu kewajipan tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu (tindakan), maka sesuatu (tindakan) tersebut juga menjadi wajib.”


Credit: syuhadahalfirdaus.blogspot