KUALA LUMPUR 4 Okt. - Australia perlu memohon maaf kepada Malaysia di atas perlakuan rakyatnya menghina Jalur Gemilang sewaktu perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) di Sepang, Ahad lalu.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, penghinaan terhadap Jalur Gemilang tidak dapat diterima dan negara terlibat seharusnya turut meminta maaf kepada Malaysia.
"Kami akan turut menghantar memorandum (bantahan) ke Kedutaan Australia di atas kelakuan biadap rakyat mereka itu," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini hari ini.
video oleh AZRUL NAIMI
Ahad lalu, sekumpulan lelaki dirakam memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang dan imej itu yang kemudiannya menjadi viral di media sosial. Kesemua individu yang terbabit, disahkan sebagai rakyat Australia dan ditahan reman selama empat hari mulai semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan mengaibkan untuk tujuan memecah belah keamanan dan Seksyen 14 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai. Abdul Rani berkata, tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sembilan individu terbabit perlu dipuji. Sementara itu, Pengerusi Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay meminta supaya satu garis panduan dikeluarkan buat pelancong luar negara dan rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara bagi mengelakkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang berulang.
sumber : UTUSAN ONLINE